Sunday, 16 February 2014

Berkasih dalam Sujud

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Hari ini aku terasa sedih tiba-tiba. Entah di mana puncanya. Ku gagahkan diri untuk bangun dari baringku... melihat ke luar jendela. Subhanallah, sangat indah pemandangan di hamparan gunung sana walau hari masih gelap hanya bersuluh cahaya bulan yang masih ada. Ujub hatiku melihat kebesaran Ilahi  yang kadang-kadang kita lupa Dia sentiasa ada melihat setiap makhluknya. Dengan kepayahan, aku merelakan badanku untuk menerjah kedinginan pagi membersihkan diri.

Selesai menyarung pakaian, ku hamparkan sejadah. Kalimah Agung Allah Maha Besar ku laungkan dengan niat dua rakaat tahujjud pagi itu. Sangat syahdu ku rasakan pagi itu, tidak semena lelehan air mataku mengalir panas di pipi. Setiap butir ayat aku cuba fahami walaupun aku tidak tahu bahasa syurga itu, namun hatiku seakan memahami firman itu. Allah seakan berbicara menerangkan satu persatu firmannya. Dia menunjukkan sifat Maha Kasih dan Maha Penyayang kepada makhlukNya dengan segala nikmat dan pemberianNya yang selalu kita lupa. Wahai Tuhan sekelian Alam, sesungguhnya segala puji-pujian hanyalah satu-satunya adalah untukMu; namun seringkala diri ini masih ego, dan sombong apabila berada di atas. Membangga diri dan ujub dengan kehebatann yang hanyalah seni dari pandangan Ilahi, tetapi itulah sifat manusia. Sesungguhnya Dia Tuhan yang amat mengasihi dan amat sayang pada hambanya dengan masih lagi memberi kenikmatan hidup walaupun diri masih engkar dengan suruhannya.

Namun, sedarkah aku, bahawa, segala amalan dan dosa kita di dunia akan di hisab di hadapanNya? Empunya kerajaan di seluruh alam. Merintih sayu hati ini memahami setiap butir ayat-ayat mulia ini. Tiada lain aku pinta hanyalah diberi pertolongan dari Maha Agung ini dalam kehidupan yang penuh dugaan. Mengharap di setiap sembahku hanya untukMu, tidak membiarkan walau sedetik dalam kehidupan ini tanpa pertolongan dan petunjukNya.

Teringat diri ini yang sering alpa dan leka dengan kelalaian dunia. Dosa itu sebagai sahabat karib; susah untuk berpisah kerana keseronakkan berkawan dengannya. Lantaran suatu masa, terdetik suatu perkara, hati ini meronta mencari kehidupan sebenar. Duhai hati, kau mencari apa? Lelehan air mata semakin laju tanpa ku sedar. Allah mengujiku dengan diri ini masih dalam kelalaian. Longlai langkahku mencari hala, memujuk diri ini yang meronta tiba-tiba. Allah... rupa-rupanya selama ini, Kau merindui diriku untuk berbicara denganMu. Hina diri ini, masih angkuh dan sombong kepada Pencipta diri yang kerdil lagi hina sukar tidak mahu berbicara denganNya. Alangkah rugi masaku lebih kepada keseronakkan dunia yang sangat sekejap nikmatnya berbanding keabadiaan kehidupan di sana.



Berilah aku jalan yang Engkau redhai dalam kehidupan ini... dan bukanlah jalan-jalan orang yang Engkau murkai dan sesat agar aku mampu bertemu denganMu di suatu kehidupan yang abadi di mana kau tempatkan orang-orang beriman di dalamnya.

Semakin damai hati ini berbicara denganMu, hati yang berduka kembali tenang. Seakan mengerti akur pada kelembutan kata-kata itu. Tunduk ku hormat meyakini betapa Maha Besar Tuhan Agung ini. Ingatanku masih ingat diriku sering dalam kepuraan dan riya’ dalam setiap perkara. Setiap perbicaraan pasti ingin memuji diri walaupun zahirnya seakan tidak. Namun setiap ape yang terlintas di hati, Tuhan pasti tahu; manusia tidak mampu menipu. Sebak dadaku menahan kesedihan sesalan cerita itu.

Hati semakin merindu denganMu, lantas ku sujud menyembahMu Tuhan yang Maha Tinggi darjatNya. Di manakah diriku pada pandanganMu Ya Rabbi? Jauh darjatku untuk ku bandingkan dengan darjat para hamba-hambuMu yang beriman. Para Syuhada, para Ulama, para sahabat dan jauh lagi para NabiMu... Air mata tidak mampu tertahan jatuh ke sejadah menyesali kelemahan diri yang sentiasa berdosa. Ku duduk, mengenang calitan dosa hanya mengharap Rabbi mengampunkan dosa-dosa, menyayangi diri yang hina ini, menghijab segala kelemahan aib-aibku, meningkat keimananku agar bersama hamba-hambaMu yang bertaqwa, melimpahkan segala kenikmatan rezeki yang luas dalam kehidupan, memberiku jalanMu yang baik agar terhindar dari kesesatan, keadaan fizikal dan rohaniku yang sihat agar aku dapat menjalani IbadahMu dengan sempurna. Wahai Allah... maafkanlah segala kekhilafanku ini sepanjang hidupku di dunia ini.


KalamMu indah berbicara cinta dan kasih,
Menguntum mekar tidak layu,
Seakan-akan sedang berbicara kepada hamba-hambaMu,
Walaupun sering menjauhiMu leka dibuai sengsara dunia,
Setiap detik Kau sangat merindui hambaMu,
Namun kemanisan dunia menjauhkan jarak kerinduan padaMu,
Lantas Kau lahirkan kepahitan dalam kehidupan lara,
Memaksa hati mencari penawar,
Andai kami tidak mengerti, keluhan hina kami bicarakan,
Jika punyai senipis iman, pasti kami sujud penyesalan,
Kembalikan hati kami kepada yang empunya pemilikNya,
Berkasih kembali fitrahnya manusia pada Tuhannya.
Aku merinduiMu wahai Rabb...
Hadirkan hati ini cintaMu, agar aku tidak kembali kepada kehidupan hina...
walau sedetik dalam kehidupan ini...
Perkenankan...




No comments:

Post a Comment