Sunday, 2 March 2014

Secinta Serindu

Assalamualaikum dan Selamt Sejahtera...

Hening syahdu tirai malam, tatkala angin menyapa pipi... seakan sedang memberikan khabar salam rindu kepadaku. Subhanallah, sesungguhnya Kau ciptakan setiap makhlukMu dengan teladan dan keindahan masing-masing. Kau terangi alam dengan terbitnya matahari, Kau suluhi malam dengan keindahan sang purnama, Kau selimuti alam dengan putihnya awan dan Kau ciptakan semua makhluk supaya berkawan dan berpasangan agar tidak kami kesunyiaan. Namun, rahmatMu sering kami ingkar dengan keegoaan seorang yang asalnya dari setitis air mani. Alpa dengan teknologi dunia sedangkan kami lupa teknologi dan ilmu yang Kau miliki tidak terbatas luasnya. Subhanallah.



“Aku rindu si dia”, hati ini bermonolog sayu tiba-tiba. Di kejauhan aku memandang langit. Cantik! Bintang-bintang seakan-akan menari dan bulan tersenyum indah. Ku usap perlahan-lahan dadaku, agar kesakitan dalam hati ini hilang. Rindu kepada si dia sangat menyakitkan hati... terasa lemahnya hati ini. Teringat diriku dahulu, cinta dan rindu adalah permainan madah manis pada mulut. Bila teringat padanya, pasti diucapkan kata rindu padanya dan lemahnya si gadis terkulai layu dengan godaan kata-kata ‘azimat’ itu. Bila hati terlahir keriangan, terus diucap madah cinta pada si gadis. Sekali lagi, syaitan menjadi orang ketiga menyambut mesra sang ‘sahabat’. Rasulullah telah memperingatkan setiap manusia akan godaan cinta dunia di dalam hadisnya yang bererti :

 “Dunia ini cantik dan hijau. Sesungguhnya Allah menjadikan kamu khalifah dan Allah mengamati apa yang kamu lakukan, kerana itu jauhilah godaan wanita dan dunia, sesungguhnya fitnah pertama yang menimpa bani israil adalah godaan kaum wanita.”  
(HR.Ahmad)

Barangkali hati itu Tuhan ciptakan sangat daif dan lemah supaya manusia akan meminta kekuatan dari-Nya. Namun, aku sering salah mentafsir hati. Ku mencari kekuatan itu pada makhluk bernama manusia. Penawar sejati hanyalah madah berapi memungkinkan segala pengubat luka di hati. Ianya tidak lama, apabila hati tidak bersefaham, sekali lagi madah di ungkap, tetapi madah yang melukakan. Kemudian, begitulah rutinnya mengikut perasaan dan acuan perangai manusia. Cinta muda-mudi, dari dahulu sampailah sekarang bahannya sama hanya diolah pada cara yang berbeza. Manusia terikut pada cara kemanisan anasir barat yang menjauhkan manusia dengan Ketuhanan. Maka, hasil didikan itu melahirkan seorang insan yang kebanyakkannya berpura-pura atau kata yang jelasnya di dalam Al-Quran “Munafik”. Nauzubillah.



Pandangan zahir selalunya akan menipu kerana kecantikan atau kesempurnaan itu dapat di lihat dan di rasa. Bagaimana dengan hati? Mata pasti dihijab dengan kepalsuan kerana manusia yang merubahnya, namun, hati tidak boleh menipu. Apa yang dirasa itulah hati, apa yang dilihat, itulah hati. Manusia tidak akan mengubahnya dengan tangan kerana tingginya darjat hati, ianya dipegang oleh Sang Penciptanya sendiri. Allahuakbar. Hanya manusia yang ‘sebenar’ yang mampu merungkai hati dan fahami kerana bicaranya itu bukan pada madah zahir mulut, tetapi di dalam sujud kepada Ilahi.  Hadis Rasulullah yang ertinya:

“Siapa yang ingin merasakan lazatnya iman maka cintailah seseorang hanya kerana Allah”
(HR Muslim)
Sabda Nabi Muhammad SAW, yang ertinya :

“Layak mendapatkan cinta-Ku bagi orang yang saling mencintai kerana-Ku. Orang yang saling mencintai kerana-Ku (di hari kiamat) akan ditempatkan di menara dari cahaya, tempat yang diingini oleh para nabi, orang-orang yang benar dan para syuhada”
(Shahih jami).

Indahnya cinta bersemi keimanan sejati. Syahdunya rindu diasuh dengan hati yang suci. Perantaraan madahnya dengan Ar-Rahman, diruntun khabarnya kepada si penerima cinta dengan ketenangan jiwa. Sangat puitis dan suci... Serahan hatinya kepada Ilahi untuk memiliki sang puteri. Nilai cinta dan rindunya bersemi kasih Ilahi. Subhanallah... Kau lahirkan perasaan ini supaya kita berfikir dan memahami erti sebenar kelahiran hati. Allah berfirman, maksudnya:

“Dan ketahuilah olehmu bahwa di kalangan kamu ada Rasulullah, kalau ia menuruti (kemahuan) kamu dalam beberapa urusan benar-benarlah kamu akan mendapat kesusahan tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus” 
(49:7)
Kalam lidah itu binasa,
Tatkala madah tiada jiwa,
Umpama kaca sempurnanya bentuk cermin,
Namun, pecahnya hanya kaca pedihnya bila terluka,

Madah hati itu segala,
Kesuciaannya terpancar indah,
Umpama turunnya hujan memberi kesejukkan,
Sabarkan hati muncul pula pelangi memberi senyuman.



                Duduklah, hulurkan tanganmu menadah ke langit... Sujudlah, sentuhlah dahimu ke bumi... Allah melihat setiap perilaku makhluknya tanpa terlepas sedetik sedikit pun. Allah mengadili keihlasan dan tawakal hatimu tanpa menzalimi dirimu sedikit pun. Luahkan dan simpankan yang dirindui dan dicintai di dalam doamu agar ikatan itu bertaut dengan cintamu kepada Ilahi. Hati manusia itu sifatnya berbolak balik, sedalam mana pun cinta, sejauh mana pun merindu, pasti akan tewas bila mana keadaan menjadi sumbang. Contohilah seperti mana cintanya kaum Muhajirin dan saudara-saudara mereka dari kaum Ansar, di mana Allah telah merakamkan doa mereka di dalam Al-Quran, bermaksud:

“Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: “Ya Tuhan kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang”
(59:8-10)


Semoga persaudaraan kita sesama manusia dilimpahi dengan rahmat dan kasih sayang Allah di dalamnya. Insyallah =)       

No comments:

Post a Comment