Sunday, 2 March 2014

Secinta Serindu

Assalamualaikum dan Selamt Sejahtera...

Hening syahdu tirai malam, tatkala angin menyapa pipi... seakan sedang memberikan khabar salam rindu kepadaku. Subhanallah, sesungguhnya Kau ciptakan setiap makhlukMu dengan teladan dan keindahan masing-masing. Kau terangi alam dengan terbitnya matahari, Kau suluhi malam dengan keindahan sang purnama, Kau selimuti alam dengan putihnya awan dan Kau ciptakan semua makhluk supaya berkawan dan berpasangan agar tidak kami kesunyiaan. Namun, rahmatMu sering kami ingkar dengan keegoaan seorang yang asalnya dari setitis air mani. Alpa dengan teknologi dunia sedangkan kami lupa teknologi dan ilmu yang Kau miliki tidak terbatas luasnya. Subhanallah.



“Aku rindu si dia”, hati ini bermonolog sayu tiba-tiba. Di kejauhan aku memandang langit. Cantik! Bintang-bintang seakan-akan menari dan bulan tersenyum indah. Ku usap perlahan-lahan dadaku, agar kesakitan dalam hati ini hilang. Rindu kepada si dia sangat menyakitkan hati... terasa lemahnya hati ini. Teringat diriku dahulu, cinta dan rindu adalah permainan madah manis pada mulut. Bila teringat padanya, pasti diucapkan kata rindu padanya dan lemahnya si gadis terkulai layu dengan godaan kata-kata ‘azimat’ itu. Bila hati terlahir keriangan, terus diucap madah cinta pada si gadis. Sekali lagi, syaitan menjadi orang ketiga menyambut mesra sang ‘sahabat’. Rasulullah telah memperingatkan setiap manusia akan godaan cinta dunia di dalam hadisnya yang bererti :

 “Dunia ini cantik dan hijau. Sesungguhnya Allah menjadikan kamu khalifah dan Allah mengamati apa yang kamu lakukan, kerana itu jauhilah godaan wanita dan dunia, sesungguhnya fitnah pertama yang menimpa bani israil adalah godaan kaum wanita.”  
(HR.Ahmad)

Barangkali hati itu Tuhan ciptakan sangat daif dan lemah supaya manusia akan meminta kekuatan dari-Nya. Namun, aku sering salah mentafsir hati. Ku mencari kekuatan itu pada makhluk bernama manusia. Penawar sejati hanyalah madah berapi memungkinkan segala pengubat luka di hati. Ianya tidak lama, apabila hati tidak bersefaham, sekali lagi madah di ungkap, tetapi madah yang melukakan. Kemudian, begitulah rutinnya mengikut perasaan dan acuan perangai manusia. Cinta muda-mudi, dari dahulu sampailah sekarang bahannya sama hanya diolah pada cara yang berbeza. Manusia terikut pada cara kemanisan anasir barat yang menjauhkan manusia dengan Ketuhanan. Maka, hasil didikan itu melahirkan seorang insan yang kebanyakkannya berpura-pura atau kata yang jelasnya di dalam Al-Quran “Munafik”. Nauzubillah.



Pandangan zahir selalunya akan menipu kerana kecantikan atau kesempurnaan itu dapat di lihat dan di rasa. Bagaimana dengan hati? Mata pasti dihijab dengan kepalsuan kerana manusia yang merubahnya, namun, hati tidak boleh menipu. Apa yang dirasa itulah hati, apa yang dilihat, itulah hati. Manusia tidak akan mengubahnya dengan tangan kerana tingginya darjat hati, ianya dipegang oleh Sang Penciptanya sendiri. Allahuakbar. Hanya manusia yang ‘sebenar’ yang mampu merungkai hati dan fahami kerana bicaranya itu bukan pada madah zahir mulut, tetapi di dalam sujud kepada Ilahi.  Hadis Rasulullah yang ertinya:

“Siapa yang ingin merasakan lazatnya iman maka cintailah seseorang hanya kerana Allah”
(HR Muslim)
Sabda Nabi Muhammad SAW, yang ertinya :

“Layak mendapatkan cinta-Ku bagi orang yang saling mencintai kerana-Ku. Orang yang saling mencintai kerana-Ku (di hari kiamat) akan ditempatkan di menara dari cahaya, tempat yang diingini oleh para nabi, orang-orang yang benar dan para syuhada”
(Shahih jami).

Indahnya cinta bersemi keimanan sejati. Syahdunya rindu diasuh dengan hati yang suci. Perantaraan madahnya dengan Ar-Rahman, diruntun khabarnya kepada si penerima cinta dengan ketenangan jiwa. Sangat puitis dan suci... Serahan hatinya kepada Ilahi untuk memiliki sang puteri. Nilai cinta dan rindunya bersemi kasih Ilahi. Subhanallah... Kau lahirkan perasaan ini supaya kita berfikir dan memahami erti sebenar kelahiran hati. Allah berfirman, maksudnya:

“Dan ketahuilah olehmu bahwa di kalangan kamu ada Rasulullah, kalau ia menuruti (kemahuan) kamu dalam beberapa urusan benar-benarlah kamu akan mendapat kesusahan tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus” 
(49:7)
Kalam lidah itu binasa,
Tatkala madah tiada jiwa,
Umpama kaca sempurnanya bentuk cermin,
Namun, pecahnya hanya kaca pedihnya bila terluka,

Madah hati itu segala,
Kesuciaannya terpancar indah,
Umpama turunnya hujan memberi kesejukkan,
Sabarkan hati muncul pula pelangi memberi senyuman.



                Duduklah, hulurkan tanganmu menadah ke langit... Sujudlah, sentuhlah dahimu ke bumi... Allah melihat setiap perilaku makhluknya tanpa terlepas sedetik sedikit pun. Allah mengadili keihlasan dan tawakal hatimu tanpa menzalimi dirimu sedikit pun. Luahkan dan simpankan yang dirindui dan dicintai di dalam doamu agar ikatan itu bertaut dengan cintamu kepada Ilahi. Hati manusia itu sifatnya berbolak balik, sedalam mana pun cinta, sejauh mana pun merindu, pasti akan tewas bila mana keadaan menjadi sumbang. Contohilah seperti mana cintanya kaum Muhajirin dan saudara-saudara mereka dari kaum Ansar, di mana Allah telah merakamkan doa mereka di dalam Al-Quran, bermaksud:

“Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: “Ya Tuhan kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang”
(59:8-10)


Semoga persaudaraan kita sesama manusia dilimpahi dengan rahmat dan kasih sayang Allah di dalamnya. Insyallah =)       

Sunday, 16 February 2014

Berkasih dalam Sujud

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Hari ini aku terasa sedih tiba-tiba. Entah di mana puncanya. Ku gagahkan diri untuk bangun dari baringku... melihat ke luar jendela. Subhanallah, sangat indah pemandangan di hamparan gunung sana walau hari masih gelap hanya bersuluh cahaya bulan yang masih ada. Ujub hatiku melihat kebesaran Ilahi  yang kadang-kadang kita lupa Dia sentiasa ada melihat setiap makhluknya. Dengan kepayahan, aku merelakan badanku untuk menerjah kedinginan pagi membersihkan diri.

Selesai menyarung pakaian, ku hamparkan sejadah. Kalimah Agung Allah Maha Besar ku laungkan dengan niat dua rakaat tahujjud pagi itu. Sangat syahdu ku rasakan pagi itu, tidak semena lelehan air mataku mengalir panas di pipi. Setiap butir ayat aku cuba fahami walaupun aku tidak tahu bahasa syurga itu, namun hatiku seakan memahami firman itu. Allah seakan berbicara menerangkan satu persatu firmannya. Dia menunjukkan sifat Maha Kasih dan Maha Penyayang kepada makhlukNya dengan segala nikmat dan pemberianNya yang selalu kita lupa. Wahai Tuhan sekelian Alam, sesungguhnya segala puji-pujian hanyalah satu-satunya adalah untukMu; namun seringkala diri ini masih ego, dan sombong apabila berada di atas. Membangga diri dan ujub dengan kehebatann yang hanyalah seni dari pandangan Ilahi, tetapi itulah sifat manusia. Sesungguhnya Dia Tuhan yang amat mengasihi dan amat sayang pada hambanya dengan masih lagi memberi kenikmatan hidup walaupun diri masih engkar dengan suruhannya.

Namun, sedarkah aku, bahawa, segala amalan dan dosa kita di dunia akan di hisab di hadapanNya? Empunya kerajaan di seluruh alam. Merintih sayu hati ini memahami setiap butir ayat-ayat mulia ini. Tiada lain aku pinta hanyalah diberi pertolongan dari Maha Agung ini dalam kehidupan yang penuh dugaan. Mengharap di setiap sembahku hanya untukMu, tidak membiarkan walau sedetik dalam kehidupan ini tanpa pertolongan dan petunjukNya.

Teringat diri ini yang sering alpa dan leka dengan kelalaian dunia. Dosa itu sebagai sahabat karib; susah untuk berpisah kerana keseronakkan berkawan dengannya. Lantaran suatu masa, terdetik suatu perkara, hati ini meronta mencari kehidupan sebenar. Duhai hati, kau mencari apa? Lelehan air mata semakin laju tanpa ku sedar. Allah mengujiku dengan diri ini masih dalam kelalaian. Longlai langkahku mencari hala, memujuk diri ini yang meronta tiba-tiba. Allah... rupa-rupanya selama ini, Kau merindui diriku untuk berbicara denganMu. Hina diri ini, masih angkuh dan sombong kepada Pencipta diri yang kerdil lagi hina sukar tidak mahu berbicara denganNya. Alangkah rugi masaku lebih kepada keseronakkan dunia yang sangat sekejap nikmatnya berbanding keabadiaan kehidupan di sana.



Berilah aku jalan yang Engkau redhai dalam kehidupan ini... dan bukanlah jalan-jalan orang yang Engkau murkai dan sesat agar aku mampu bertemu denganMu di suatu kehidupan yang abadi di mana kau tempatkan orang-orang beriman di dalamnya.

Semakin damai hati ini berbicara denganMu, hati yang berduka kembali tenang. Seakan mengerti akur pada kelembutan kata-kata itu. Tunduk ku hormat meyakini betapa Maha Besar Tuhan Agung ini. Ingatanku masih ingat diriku sering dalam kepuraan dan riya’ dalam setiap perkara. Setiap perbicaraan pasti ingin memuji diri walaupun zahirnya seakan tidak. Namun setiap ape yang terlintas di hati, Tuhan pasti tahu; manusia tidak mampu menipu. Sebak dadaku menahan kesedihan sesalan cerita itu.

Hati semakin merindu denganMu, lantas ku sujud menyembahMu Tuhan yang Maha Tinggi darjatNya. Di manakah diriku pada pandanganMu Ya Rabbi? Jauh darjatku untuk ku bandingkan dengan darjat para hamba-hambuMu yang beriman. Para Syuhada, para Ulama, para sahabat dan jauh lagi para NabiMu... Air mata tidak mampu tertahan jatuh ke sejadah menyesali kelemahan diri yang sentiasa berdosa. Ku duduk, mengenang calitan dosa hanya mengharap Rabbi mengampunkan dosa-dosa, menyayangi diri yang hina ini, menghijab segala kelemahan aib-aibku, meningkat keimananku agar bersama hamba-hambaMu yang bertaqwa, melimpahkan segala kenikmatan rezeki yang luas dalam kehidupan, memberiku jalanMu yang baik agar terhindar dari kesesatan, keadaan fizikal dan rohaniku yang sihat agar aku dapat menjalani IbadahMu dengan sempurna. Wahai Allah... maafkanlah segala kekhilafanku ini sepanjang hidupku di dunia ini.


KalamMu indah berbicara cinta dan kasih,
Menguntum mekar tidak layu,
Seakan-akan sedang berbicara kepada hamba-hambaMu,
Walaupun sering menjauhiMu leka dibuai sengsara dunia,
Setiap detik Kau sangat merindui hambaMu,
Namun kemanisan dunia menjauhkan jarak kerinduan padaMu,
Lantas Kau lahirkan kepahitan dalam kehidupan lara,
Memaksa hati mencari penawar,
Andai kami tidak mengerti, keluhan hina kami bicarakan,
Jika punyai senipis iman, pasti kami sujud penyesalan,
Kembalikan hati kami kepada yang empunya pemilikNya,
Berkasih kembali fitrahnya manusia pada Tuhannya.
Aku merinduiMu wahai Rabb...
Hadirkan hati ini cintaMu, agar aku tidak kembali kepada kehidupan hina...
walau sedetik dalam kehidupan ini...
Perkenankan...




Bahagiamu Deritaku Bersama

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Mata ku redup memandang hadapan dek terik matahari yang pijar. Melihat kelibat pasangan remaja yang berpimpin tangan manja mesra. Suami Isteri andaianku... Huznuzon, bentak hatiku. Andai benar, Alhamdulillah... tetapi jika sebaliknya, haruskah cacian atau kutukan sebagai balasan?

Otakku ligat berfikir, mengapa Tuhan itu wujudkan cinta dan kasih sayang dalam diri manusia andai kesannya memberi keburukan. Lihatlah, kes pembuangan bayi, hasil dari ‘kasih sayang’ manusia secara logik akalnya ibu bapanya masih belum berkahwin. Jahatnya manusia!

Teringat kata-kata dari seorang murabbi, “di setiap apa yang berlaku di sekeliling kita adalah takdir hidup kita, ianya bukan kebetulan.” Sekali lagi ligat fikiranku berfikir, apa kaitannya? Kita sudah solat taubat, hajat, solat fardhu dan sunat, pergi ceramah, kenapa kadang-kadang, kita bertemu dengan suatu keadaan yang kita anggap ianya buruk. Tuhan tidak sayang kita lagikah? Atau tidak diterimakah amalan kita? Allahuakbar... Hatiku tiba-tiba menjadi gundah, adakah Tuhan sudah semakin hilang dalam hati kita... Mataku aku tutup rapat, mengenang kembali dosa-dosa dan khilaf; mulutku tidak henti-henti mengucap kata taubat, hatiku panas sedih pilu tiba-tiba, keliru antara kejadian yang menimpa. Mencari  jawapan di setiap persoalan, merungkai kembali satu-satu ilmu yang aku tahu, mencari titik persamaan dan hubungan di antaranya; otakku ligat berfikir...

Tuhan berfirman:

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami lah kamu dikembalikan. “ (Al Anbiya’ :35)

Dan sekali ligi Tuhan berfirman:

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (QS Al-Ankabut:2-3).

Hati yang panas sedih pilu menjadi lapang... Ayat-ayat Allah itu sungguh mujarab penawar untuk hati. Tuhan hadirkan kita kebaikan untuk member kegembiraan pada hati, dan Tuhan ketemukan kita dengan keburukan agar kita belajar tentang diri. Apa yang harus aku belajar bila melihat kejadian buruk pada diri manusia?

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak beriman (sempurna) salah seorang di antara kalian hingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.”  (HR. Imam Bukhari dan Imam Muslim).



Kiranya setiap kejadian itu Tuhan telah sisipkan hikmah untuk diri manusia. Cintai manusia seperti mana? Imbas kembali kehidupan kita di dunia; manusia tidak mampu untuk hidup tanpa pertolongan daripada manusia yang lain. Kitarannya begitu; pemimpin perlukan rakyat untuk mentadbir, rakyat perlukan pemimpin untuk dipimpin. Jadi, kalau zahirnya Tuhan telah tunjukkan begitu kehidupan manusia, mengapa tidak kita balas setiap pertolongan itu dengan kecintaan kita pada setiap manusia dengan kecintaan bersandarkan cinta kita kerana Allah.

Namun, seringkali manusia sering lupa; sering menghina bila melihat kejahatan berlaku pada diri orang lain, sering mencaci melihat remaja yang bersosial bebas, sering mencemuh melihat kesusahan orang lain... Hanya kehinaan untuk yang hina, hanya cacian untuk si keji dan cemuhan untuk yang susah. Tiada lagikah kebaikan bagi mereka pada pandangan mata kita?

Setiap manusia fitrahnya pasti menyayangi diri mereka walaupun banyak dosa dan kesilapan dilakukan dalam diri mereka. Jadi, mengapa tidak kita menyayangi orang lain yang melakukan dosa dan kesilapan dalam diri mereka? Muliakah kita sehingga kewajaran memandang hina pada keburukan orang lain, sedangkan diri sendiri melakukan dosa juga. Sesungguhnya, Yang Sempurna hanyalah Allah Taala. Jangan membenci kepada jasad seorang manusia, tetapi cukuplah membenci sikap dan perbuatan dosanya. Sejahat-jahat manusia, pasti akan ada kebaikan dalam diri mereka, sama ada kita sedar atau tidak, dan sebaik-baik manusia, pasti ada keburukan dalam diri mereka. Justeru, andai kita membenci orang lain disebabkan dosa dan kesilapan mereka, sedarlah, kita telah membenci kebaikan yang ada dalam diri mereka. Maksudnya?

Kita telah membenci perbuatan baik! Membenci kebaikan itu umpama kita membenci kepada ALLAH! Nauzubillah.

Perlunya dalam setiap diri kita menanam rasa sayang dan kasih kita pada manusia lain tidak kiralah tua,muda, miskin, kaya, cerah, gelap dan sewaktunya agar ukhuwah dan sifat-sifat mahmudah itu tersemai indah dalam masyarakat. Fahami setiap kejadian yang buruk itu pasti ada cerita sebaliknya.

Teringat kata-kata dari seorang Murabbi:

“Jangan meletakkan cinta kita kepada manusia di dalam hati, kerana hati sifatnya berdolak dalik, letakkan cinta itu di dalam doa kerana yang kekal hanyalah DIA...”

Manusia fitrahnya akan suka dan cinta pada sesuatu perkara jika ia mengembirakan hatinya, dan akan menjauhi atau membenci apabila kesakitan dalam hati mula terasa. Kerana itu jika rasa cinta dan kasih sayang hanya diterbitkan manis di mulut, tetapi tanpa kehadiran Penciptanya, maka, perasaan itu pasti rapuh dan plastik. Keikhlasan dan kejujuran dalam cinta dan kasih sayang sesama manusia akan wujud bilanya ada Allah di dalam setiap tujuan. 



Mendoakan seseorang di dalam Doa akan memberi kelebihan pada tawakal manusia kerana perilakunya tanpa diketahui oleh sesiapa, tetapi berserah ikhlas kerana Allah. Allahuakbar... sangat mulia sifatnya malah sangat dicintai Allah. Inilah maksud asal kelahiran cinta dan kasih sayang dalam yang Allah berikan kepada manusia agar kebaikan dan kemuliaannya dapat mengeratkan ukhuwah di dalam diri manusia, dengan panduan dan batas-batas yang berlandaskan syariat.

                Stay in Unity... With Allah Will, Islam will Win! =)




Tuesday, 11 February 2014

Sedikit itu kesyukuran, Banyak itu Kecukupan

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Langit pagi itu cerah barangkali indah ku rasakan hari ini... Tatkala hati girang menikmati kecerahan langit, matahari merangkak tinggi tegak di kepala... Saat itu, hati terdetik alangkah eloknya hujan di waktu ini. Nah, di mana kegirangan hati tadi tatkala kecerahan langit pagi tidak dirasakan lagi? Mudah untuk hati berubah walaupun zahirnya kesyukuran di ucap manis pada bibir sewaktu hati senang dengan sesuatu, dan keluhan sakit tatkala diri tidak terasa nikmat zahir itu...

Kehidupan manusia sering di utamakan dengan kecukupan material yakni zahirnya pada diri dan masyarakat harus lengkap dengan keperluan malah kemahuan itu di manjakan. Siapa? Lihat awalnya dalam alam persekolahan, anak-anak inginkan kasut yang canggih yang mahal, ada lampu 'klip-klip' bila berjalan walaupun kasut RM20 sudah memadai untuk mereka berjalan. Meningkat sedikit remaja di kolej atau universiti, remaja inginkan 'smartphone' sedangkan keperluannya sebagai student sudah cukup dengan handphone yang asasnya untuk telefon dan ber'sms'; okaylah tambahan sedikit yang ada aplikasi 'camera'.

Tamat belajar, masuklah ke alam pekerjaan; di sini keperluan itu penggunaannya semakin luas seiring dengan pembangunan yang pesat... fikirannya pun semakin 'pesat' lagi-lagi sudah mempunyai pendapatan sendiri; yang dulunya hanyalah bermotorsikal fikirannya akan 'pesat' untuk mempunyai kereta, yang pakaian dahulunya 'up town' kini berubah kepada 'up to me'; setiap bulan tidak sempat untuk menyimpan, malah mengeluh ketidakcukupan gajinya sedangkan belum berumahtangga. “Rumah perlu besar untuk selesa, kereta harus mewah agar tidak dihina, Pakaian harus mahal menjaga standard”, kata MANUSIA. Mengapa?


NAFSU.

Nafsu berperanan untuk berkehendak akan sesuatu, kepada perkara yang baik maupun yang buruk. Tetapi tabiat asalnya lebih cenderung kepada kejahatan daripada kebaikan seperti dalam firman ALLAH:

“Sesungguhnya nafsu itu sangat menyuruh berbuat kejahatan.” (Yusuf: 53)


Nafsu adalah kunci untuk pintu ketamakan, kerakusan dan kesombongan. Natijahnya, kes tanah runtuh yang berlaku, jenayah rogol dan merompak, keruntuhan akhlak anak-anak mahupun orang dewasa, penindasan golongan atasan kepada yang tidak berupaya dan lain-lain masalah melibatkan manusia yang ‘mulia’ ini.

Hari ini, semakin hilang ketamadunan,
Manusia angkuh berkuasa merdeka,
Manusia sakit dan luka menjadi protagonis hiba,
Manusia alim dan suci dicanang gila,
Kerana dunia kuasanya adalah NAFSU semata.

Nafsu sifatnya adalah tidak pernah cukup. Sering mengeluh, pinar dan takjub dengan nikmat agung dunia. Yang miskin, merasa diri hina, angkuh dengan Tuhan mati hati dengan keluhan makna cacian menilai diri yang di anggap tidak dikasihi Tuhan. Udara yang dihirup, rezeki dengan anak-anak yang lahir, pancaindera hidup dengan kesempurnaan, Nah! Apa lagi mahu dilabel diri tidak disayangi?

Yang Kaya, jiwa kelam meruntun hiba, tiada anak untuk di manja, mengeluh harta tidak cukup untuk keluarga, sakit hati tiada kereta mewah... Sekali lagi, Tuhan menempelak! Manusia kebanyakkan tidak pernah mengenal erti syukur.  

“Firman Allah SWT: Katakanlah Dia-lah yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati. (tetapi) amat sedikit kamu bersyukur. Katakanlah: Dia-lah yang menjadikan kamu berkembang biak di muka bumi, dan hanya kepada-Nya-lah kamu kelak dikumpulkan.”

Mengapa NAFSU ini berkuasa?

Sungguhpun nafsu itu wujud dalam diri, tidak bermakna manusia perlu berkompromi mengikut segala hawa nafsu itu. Maka, di sini, Allah yang Maha Pelembut ini melahirkan rasa kasih dan cintanya pada hambanya dengan menciptakan dalam jasad manusia ini dengan hati dan akal fikiran. Uniknya hati ini, adalah ianya bersifat roh... tidak mampu dilihat melalui pancaindera manusia. Hati ini sifatnya suci, hanya Pencipta yang mampu merubahnya. Kalau hati itu Tuhan Pemiliknya, cintailah Pemiliknya supaya hati kita mampu mengawal nafsu itu. Hati dicipta untuk mengawal nafsu; tetapi bagaimana untuk mengawal hati?

Cuba kita membeli sebuah mesin basuh, pasti akan diberi dengan buku panduan (manual). Di dalam buku panduan ditunjukkan dengan cara-cara menggunakan, sukatannya  dan cara membaiki andainya rosak. Begitu juga manusia, hati yang dijadikan disertakan dengan panduan yakni Al-Quran supaya manusia ikut dan patuh agar tidak rosak di kemudian hari.

Bila hati telah di bajai dengan kemuliaan, iman itu akan datang sebagai pelindung diri dari sifat kerugian... Bila datangnya kekurangan, iman akan membelai hati dengan mengatakan, seseungguhnya ia sudah cukup dengan nikmat Allah, dan bila datangnya kelebihan, iman akan pujuk hati menenangkan diri dengan rasa syukur kepada kenikmatanNYA.

Benarkan hati dengan setiap kelemahan, hikmah pasti mengiringinya... damaikan hati dengan setiap kelebihan, sujudnya lebih tanda kesyukuran.

Wallahualam... =)