Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...
Mata ku redup memandang hadapan
dek terik matahari yang pijar. Melihat kelibat pasangan remaja yang berpimpin
tangan manja mesra. Suami Isteri andaianku... Huznuzon, bentak hatiku. Andai
benar, Alhamdulillah... tetapi jika sebaliknya, haruskah cacian atau kutukan
sebagai balasan?
Otakku ligat berfikir, mengapa
Tuhan itu wujudkan cinta dan kasih sayang dalam diri manusia andai kesannya
memberi keburukan. Lihatlah, kes pembuangan bayi, hasil dari ‘kasih sayang’ manusia
secara logik akalnya ibu bapanya masih belum berkahwin. Jahatnya manusia!
Teringat kata-kata dari seorang
murabbi, “di setiap apa yang berlaku di sekeliling kita adalah takdir hidup
kita, ianya bukan kebetulan.” Sekali lagi ligat fikiranku berfikir, apa
kaitannya? Kita sudah solat taubat, hajat, solat fardhu dan sunat, pergi
ceramah, kenapa kadang-kadang, kita bertemu dengan suatu keadaan yang kita
anggap ianya buruk. Tuhan tidak sayang kita lagikah? Atau tidak diterimakah
amalan kita? Allahuakbar... Hatiku tiba-tiba menjadi gundah, adakah Tuhan sudah
semakin hilang dalam hati kita... Mataku aku tutup rapat, mengenang kembali
dosa-dosa dan khilaf; mulutku tidak henti-henti mengucap kata taubat, hatiku
panas sedih pilu tiba-tiba, keliru antara kejadian yang menimpa. Mencari jawapan di setiap persoalan, merungkai
kembali satu-satu ilmu yang aku tahu, mencari titik persamaan dan hubungan di
antaranya; otakku ligat berfikir...
Tuhan berfirman:
“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu
dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami lah kamu dikembalikan. “
(Al Anbiya’ :35)
Dan sekali ligi Tuhan berfirman:
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan:
Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (QS Al-Ankabut:2-3).
Hati yang panas sedih pilu menjadi lapang... Ayat-ayat Allah itu sungguh
mujarab penawar untuk hati. Tuhan hadirkan kita kebaikan untuk member
kegembiraan pada hati, dan Tuhan ketemukan kita dengan keburukan agar kita
belajar tentang diri. Apa yang harus aku belajar bila melihat kejadian buruk
pada diri manusia?
Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak beriman (sempurna) salah seorang di
antara kalian hingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.”
(HR. Imam Bukhari dan Imam Muslim).
Kiranya setiap kejadian itu Tuhan telah sisipkan hikmah untuk diri
manusia. Cintai manusia seperti mana? Imbas kembali kehidupan kita di dunia;
manusia tidak mampu untuk hidup tanpa pertolongan daripada manusia yang lain.
Kitarannya begitu; pemimpin perlukan rakyat untuk mentadbir, rakyat perlukan
pemimpin untuk dipimpin. Jadi, kalau zahirnya Tuhan telah tunjukkan begitu
kehidupan manusia, mengapa tidak kita balas setiap pertolongan itu dengan
kecintaan kita pada setiap manusia dengan kecintaan bersandarkan cinta kita
kerana Allah.
Namun, seringkali manusia sering lupa; sering menghina bila melihat
kejahatan berlaku pada diri orang lain, sering mencaci melihat remaja yang
bersosial bebas, sering mencemuh melihat kesusahan orang lain... Hanya kehinaan
untuk yang hina, hanya cacian untuk si keji dan cemuhan untuk yang susah. Tiada
lagikah kebaikan bagi mereka pada pandangan mata kita?
Setiap manusia fitrahnya pasti menyayangi diri mereka walaupun banyak
dosa dan kesilapan dilakukan dalam diri mereka. Jadi, mengapa tidak kita
menyayangi orang lain yang melakukan dosa dan kesilapan dalam diri mereka?
Muliakah kita sehingga kewajaran memandang hina pada keburukan orang lain,
sedangkan diri sendiri melakukan dosa juga. Sesungguhnya, Yang Sempurna
hanyalah Allah Taala. Jangan membenci kepada jasad seorang manusia, tetapi
cukuplah membenci sikap dan perbuatan dosanya. Sejahat-jahat manusia, pasti akan
ada kebaikan dalam diri mereka, sama ada kita sedar atau tidak, dan sebaik-baik
manusia, pasti ada keburukan dalam diri mereka. Justeru, andai kita membenci
orang lain disebabkan dosa dan kesilapan mereka, sedarlah, kita telah membenci
kebaikan yang ada dalam diri mereka. Maksudnya?
Kita telah membenci perbuatan baik! Membenci kebaikan itu umpama kita
membenci kepada ALLAH! Nauzubillah.
Perlunya dalam setiap diri kita menanam rasa sayang dan kasih kita pada
manusia lain tidak kiralah tua,muda, miskin, kaya, cerah, gelap dan sewaktunya
agar ukhuwah dan sifat-sifat mahmudah itu tersemai indah dalam masyarakat.
Fahami setiap kejadian yang buruk itu pasti ada cerita sebaliknya.
Teringat kata-kata dari seorang Murabbi:
“Jangan meletakkan cinta kita kepada manusia di dalam hati, kerana hati
sifatnya berdolak dalik, letakkan cinta itu di dalam doa kerana yang kekal
hanyalah DIA...”
Manusia fitrahnya akan suka dan
cinta pada sesuatu perkara jika ia mengembirakan hatinya, dan akan menjauhi
atau membenci apabila kesakitan dalam hati mula terasa. Kerana itu jika rasa
cinta dan kasih sayang hanya diterbitkan manis di mulut, tetapi tanpa kehadiran
Penciptanya, maka, perasaan itu pasti rapuh dan plastik. Keikhlasan dan
kejujuran dalam cinta dan kasih sayang sesama manusia akan wujud bilanya ada
Allah di dalam setiap tujuan.
Mendoakan seseorang di dalam Doa akan memberi kelebihan
pada tawakal manusia kerana perilakunya tanpa diketahui oleh sesiapa, tetapi
berserah ikhlas kerana Allah. Allahuakbar... sangat mulia sifatnya malah sangat
dicintai Allah. Inilah maksud asal kelahiran cinta dan kasih sayang dalam yang
Allah berikan kepada manusia agar kebaikan dan kemuliaannya dapat mengeratkan
ukhuwah di dalam diri manusia, dengan panduan dan batas-batas yang berlandaskan
syariat.
Stay
in Unity... With Allah Will, Islam will Win! =)


No comments:
Post a Comment